Dek kerana minat yang mendalam terhadap bidang penulisan, pelakon berbakat besar, Pekin Ibrahim kini muncul dengan karya nukilan sulungnya berjudul, ‘Memoir Bukan Memoir’. Buku berbentuk motivasi itu bakal dilancarkan di Annexe, KL pada 23 Jun ini.
“Memoir Bukan Memoir mengisahkan tentang perjalanan hidup saya dari dulu sehinggalah penghijrahan saya ke Kuala Lumpur. Saya bukan buat buku biografi tetapi ia lebih kepada buku motivasi. Saya ingin memberi inspirasi kepada remaja di luar sana di mana jika kita ingin berjaya, kita kenalah harus berusaha,” ujar Pekin ketika ditemui baru-baru ini.
“Saya sudah menulis buku ini sejak tahun 2009, namun buku ini hanya disiapkan sejak tiga bulan lepas. Buku ini adalah segalanya untuk saya. Saya memang suka menulis dan selama ini saya hanya menulis untuk diri sendiri saja. Setelah berbelas tahun dalam industri, saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya berkongsi dengan semua mengenai kesusahan hidup seorang pelakon.
“Antara isi dan kandungan yang dikongsi dalam buku ini ialah persediaan seorang aktor untuk kekal lama dalam industri. Bila baca buku ini, saya yakin pembaca akan jadi penonton yang lebih bijak dalam menghargai karya seseorang artis. Bila mereka tahu kesusahan artis itu, sedikit sebanyak, ia turut membantu mereka untuk menghargai karya pelakon itu.
Tambah pelakon filem ‘Bunohan’ ini lagi,
“InsyaAllah, selepas ini saya akan adakan siri jelajah untuk bagi ceramah motivasi kepada semua. Sudah tiga tahun saya bagi ceramah dan kali ini saya rancang nak pergi ke beberapa sekolah menengah.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ‘Memoir Bukan Memoir’, buku ini sudahpun berada di pasaran dan boleh didapati di toko-toko buku dengan harga RM30.
Terjah lagi, artikel yang menarik : Hiburan,
Pekin Ibrahim