Farah Nazirah Tinggalkan Dunia Lakonan Kerana Permintaan Ayah

Belum pun filem pertamanya ditayangkan di pawagam, heroin filem HOORE! HOORE!, Farah Nazirah, 22, memberitahu dia bakal meninggalkan dunia lakonan kerana mendapat tentangan daripada ayahnya. Jelas Farah, ayahnya tidak mahu dia meneruskan karier lakonan kerana mahu dia menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.

Baca Juga: Bapa Haq Buat Pilihan Tinggalkan Kami – Norish Karman

“Buat masa ini saya menghormati keputusan ayah yang tidak mahu saya terlibat terus dengan dunia lakonan. Sebagai seorang anak, saya memahami situasi ayah. Pasti dia mahukan yang terbaik untuk saya memandangkan saya adalah anak sulung dalam dua adik-beradik. Jadi, selepas terlibat dengan promosi filem HOORE! HOORE! ini saya akan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Jika berpeluang, saya akan belajar sehingga peringkat tertinggi sebelum mulakan perniagaan sendiri.

Bagaimanapun, jauh di lubuk hati, saya masih berharap ayah akan bagi ‘lampu hijau’ untuk saya berlakon. Lebih-lebih lagi kalau watak yang ditawarkan menarik. Saya memang suka berlakon dan menyanyi. Sebab itu saya sanggup pergi ujibakat untuk membintangi HOORE! HOORE! dahulu. Tak sangka pula berjaya.

Pada mulanya ayah memang agak berat hendak lepaskan, tapi setelah dia lihat saya beria-ria, dia pun bagi kebenaran. Namun ada syaratnya. Dia tetapkan ini lakonan pertama dan terakhir saya. Memanglah rasa sayang hendak lepaskan peluang ada, tetapi saya tidak mahu mengecewakan ayah,” ujar pelajar tahun kedua jurusan Diploma Grafik di Universiti Selangor (UNISEL) ini.

Namun, timbul persoalan sama ada dia benar-benar rela dengan keputusan ayahnya itu kerana difahamkan Farah sanggup berdiet untuk menurunkan berat badan semata-mata untuk memancing peluang lebih besar dalam lakonan.

Baca Juga: Natasha Hudson Elak Babak Romantik Sejak Bertudung

“Saya turunkan berat badan bukan semata-mata kerana lakonan. Tetapi saya lakukan demi kesihatan. Dulu berat badan saya 63 kilogram dan kini hanya 53 kilogram. Saya gembira dengan perubahan ini kerana rasa lebih berkeyakinan. Biarlah tak dapat berlakon pun, asalkan tahap kesihatan saya memuaskan,” ujar Farah lagi.

Bercerita tentang pengalaman berlakon di samping pelakon-pelakon popular lain, Farah memberitahu dia berasa sangat bertuah kerana memperolehi pengalaman cukup berharga itu.

“Dalam filem ini saya pegang watak Nurul Iman, seorang gadis sederhana dan kurang keyakinan diri. Seronok dapat berlakon dengan barisan pelakon yang lain. Mereka banyak beri tunjuk ajar kerana tahu saya tidak punya pengalaman. Kak Adibah Nor dan Abang Harun Salim Bachik paling banyak berkongsi idea dan tip lakonan. Mereka tidak lokek ilmu dan ini membuatkan saya bersemangat ketika berada di lokasi. Saya mahu buat yang terbaik.

Cabaran terbesar ialah mengatasi rasa malu. Ada satu adegan di mana saya perlu bercanda dengan Akim di tepian pantai perlu dilakukan berulang kali kerana saya tidak boleh melakonkannya dengan baik. Adegan itu sahaja mengambil masa dua jam iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, saya sudah cuba berikan yang terbaik,” ujar Farah mengakhiri perbualan.

Categories